Tuesday 10 July 2012

Siapa yang melantik penjawat awam

Penjawat awam di Malaysia dilantik oleh beberapa suruhanjaya bebas seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan Suruhanjaya Pelajaran Malaysia (SPP). Tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia adalah sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan persekutuan dan di antaranya adalah meliputi perkara-perkara berikut:-

PELANTIKAN 
Suruhanjaya menguruskan pelantikan anggota Perkhidmatan Awam secara tetap, sementara, kontrak, tukar sementara dan pinjaman. Suruhanjaya berkuasa menamatkan perkhidmatan anggota Perkhidmatan Awam mengikut syarat-syarat pelantikan. Suruhanjaya telah memberi perwakilan kuasa kepada Kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang berkenaan bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Sokongan (Kumpulan C dan D JKK).

PENGESAHAN DALAM PERKHIDMATAN 


Suruhanjaya berkuasa mengesahkan anggota Perkhidmatan Awam dalam perkhidmatan, melanjutkan tempoh percubaan, mengembalikan kakitangan ke jawatan asalnya atau menamatkan perkhidmatan kerana kegagalan disahkan dalam jawatan. Suruhanjaya juga memberi perwakilan kuasa kepada Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk mengesahkan dalam perkhidmatan bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK). 


PEMBERIAN TARAF BERPENCEN 
Suruhanjaya menguruskan pemberian taraf berpencen kepada anggota Perkhidmatan Awam tidak termasuk anggota Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK) yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh diambilkira sebagai perkhidmatan berpencen untuk tempoh tidak kurang daripada 3 tahun.

PERTUKARAN PERKHIDMATAN

Suruhanjaya berkuasa menukar tetap anggota Perkhidmatan Awam dari satu skim perkhidmatan ke satu perkhidmatan yang lain, dan dari satu perkhidmatan ke perkhidmatan yang lain untuk skim perkhidmatan yang sama. Suruhanjaya juga berkuasa menukar tetap pegawai-pegawai yang dilantik secara tukar sementara dan pinjaman.

KENAIKAN PANGKAT
Suruhanjaya adalah berfungsi sebagai Lembaga Kenaikan Pangkat bagi kenaikan pangkat ke jawatan (promotion to post) pegawai-pegawai yang menjadi Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam serta kenaikan pangkat dari suatu gred ke suatu gred yang lebih tinggi (promotion to grade) bagi pegawai-pegawai di dalam Skim Perkhidmatan Bersepadu. Selain itu Suruhanjaya juga turut berfungsi sebagai Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang berkenaan.

KAWALAN TATATERTIB

Suruhanjaya adalah merupakan Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan bagi tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta sebagai Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam yang berkenaan.
  

No comments:

Post a Comment