Wednesday 18 July 2012

PTD_Pelantikan

Pelantikan PTD

Mereka yang berjaya dalam proses temu duga akan menerima surat tawaran pelantikan sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Untuk menjadikan para pegawai PTD muda yang baru dilantik ini memiliki tahap pengetahuan, kemahiran dan budaya kerja yang cemerlang, program-program khusus telah diatur bagi mencapai matlamat tersebut. Secara umumnya terdapat empat tahap latihan yang perlu diikuti secara mandatori oleh pegawai PTD lantikan baru.

Tahap 1 : Kursus PTD Unggul
Unggul bermaksud tersohor, terbilang atau something beyond the ordinary. Sememangnya perkhidmatan PTD memerlukan penjawatnya mempamerkan budaya kerja unggul supaya mereka dapat memimpin dengan berkesan, memenuhi kehendak dan keperluan negara serta mampu menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Oleh itu peringkat ini menyediakan tahap keperluan yang paling asas bagi perkhidmatan seorang pegawai PTD.
Modul PTD Unggul ini dilaksanakan di kampus-kampus INTAN yang terpilih bagi tempoh selama 10 hari yang bertujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:
i) mempertingkatkan kesedaran para peserta dengan nilai-nilai murni demi kecemerlangan diri, organisasi dan negara;
ii) memupuk pengetahuan para peserta tentang aspirasi dan hasrat stakeholders terhadap perkhidmatan awam yang unggul pada masa hadapan; dan
iii) mendedahkan para peserta kepada sistem pembelajaran bersepadu merangkumi aspek jasmani, mental dan rohani bagi melahirkan insan yang seimbang.
Penyumbang input kepada modul ini terdiri daripada pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Pada akhir modul ini, para pegawai PTD lantikan baru ini akan mengetahui penempatan tugas masing-masing iaitu sama ada di agensi pusat, kementerian, jabatan ataupun negeri.

Tahap 2 : Penempatan di Kementerian atau Jabatan
Pada peringkat ini, seseorang pegawai PTD muda akan di ditempatkan di mana-mana bahagian atau cawangan di kementerian atau jabatan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri. Sebagai peneraju perkhidmatan awam, penempatan di jabatan kerajaan ini bertujuan untuk mengukuhkan kesedaran mereka mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin, perencana dan pelaksana dasar-dasar negara serta penasihat kepada kerajaan kelak. Semasa penempatan ini, mereka turut dilatih secara on the job training untuk membolehkan mereka memahami dan menguasai tugas sebagai penjawat awam.
  
Tahap 3 : Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA)
Pada tahap ini pegawai PTD muda akan dipanggil untuk mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) selama enam bulan di INTAN, Kampus Utama Bukit Kiara. Kursus ini perlu diikuti dengan jayanya kerana ia adalah syarat utama bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan PTD gred M 41. INTAN sebagai institusi latihan utama dalam sektor awam bertanggungjawab mengendalikan Kursus DPA ini yang berbentuk intensif dan sepenuh masa. Matlamat kursus ini adalah untuk:
  • Melahirkan pegawai PTD yang berketrampilan dan mampu menghasilkan prestasi dan produktiviti yang tinggi melalui amalan budaya kerja cemerlang;
  • Membentuk pegawai PTD yang sentiasa peka kepada kehendak-kehendak pelanggan, memiliki nilai-nilai kemanusiaan, berhemah tinggi, berbudaya (cultured) dan berdisiplin serta mengamalkan kerjasama berpasukan yang berkesan;
  • Melahirkan pegawai PTD yang patuh kepada agama, taat-setia kepada bangsa dan negara, bangga terhadap perkhidmatannya serta memahami dan mendokong dasar-dasar pembangunan negara; dan
  • Melahirkan pegawai PTD yang berfikiran global dan berupaya menangani perubahan persekitaran yang dinamik.
Pendekatan Kursus DPA ini terbahagi kepada dua iaitu latihan akademik dan latihan bukan akademik. Latihan akademik merujuk kepada aspek pembelajaran secara ilmiah dalam bilik kuliah. Modul-modul akademik yang dibentuk adalah berasaskan kepada lapan bidang teras PTD iaitu pengurusan sumber kewangan, pengurusan sumber ekonomi, pengurusan sumber manusia dan organisasi, hubungan antarabangsa dan hal-ehwal dalam negeri, pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, pentadbiran dan pembangunan tanah, daerah dan tempatan, perancangan dan pentadbiran sosial serta keselamatan dan pertahanan negara. Peserta didedahkan kepada pelbagai input berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan organisasi, pengurusan ekonomi dan kewangan, perlembagaan dan undang-undang, bahasa dan komunikasi dan sebagainya bagi melengkapkan mereka menjadi pegawai yang kompeten.

Latihan bukan akademik bertujuan untuk membentuk peningkatan disiplin, ketahanan fizikal, mental, rohani dan spiritual para peserta melalui pembelajaran luar bilik kuliah, latihan ketenteraan, pengurusan bencana, aktiviti lasak dan sistem mentor-mentee. Melalui pendekatan ini, peserta Kursus DPA perlu menjalani latihan lasak, antaranya modul ketahanan diri dan disiplin di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Maktab Polis Di Raja Malaysia, Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat serta Outward Bound School. Latihan lasak ini adalah khusus untuk pembentukan sahsiah diri (character building) dan peningkatan tahap disiplin yang tinggi. Selain itu juga beberapa subjek lain seperti etika sosial, protokol, pengucapan awam, lawatan sambil belajar, event management, sukan dan sebagainya turut dimuatkan dalam latihan bukan akademik ini.

Tahap 4 : PTD Training Roadmap
Tahap keempat dilaksanakan selepas pegawai PTD muda menamatkan Kursus DPA dan kembali berkhidmat ke kementerian atau jabatan masing-masing. Berdasarkan kepada konsep pembelajaran berterusan, mereka ini akan dipanggil untuk mengikuti siri kursus yang dikenali sebagai PTD Training Roadmap, gred M 41. Pemilihan peserta untuk mengikuti kursus ini akan ditentukan oleh Bahagian Perkhidmatan, JPA. Objektif kursus-kursus dalam siri ini adalah untuk meningkatkan kompetensi dan kepakaran para pegawai PTD muda dalam bidang-bidang khusus iaitu seperti berikut:
  • Penulisan kertas cadangan dan laporan berkualiti
  • Kemahiran komunikasi dan interpersonal
  • Pengurusan kewangan dan akauntabiliti
  • Pengurusan dasar sektor awam
  • Pengurusan sumber manusia di sektor awam
  • Perancangan dan pengurusan projek
  • Kemahiran perancangan strategik
  • Metodologi penyelidikan
  • Pentadbiran tanah

PTD_Latar belakang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

Latar Belakang PTD

Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam memastikan negara dan masyarakat dapat mengecapi keharmonian dan kemakmuran. Sehubungan itu juga, keberkesanan perkhidmatan awam merupakan penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negara bagi membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.

Dalam konteks sektor awam di negara ini, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Sebagai teras perkhidmatan awam negara, pegawai-pegawai PTD telah mengisi kebanyakan jawatan-jawatan utama di peringkat kementerian dan jabatan, badan berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik kerajaan dan badan-badan antarabangsa.
Dari perspektif sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum kemerdekaan. Ia bermula seawal tahun 1896, apabila perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil Service telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial untuk mentadbir Tanah Melayu. Malayan Civil Service (MCS) telah mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya. Pada tahun 1929, Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS.
Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam Malaysia tetap kekal berterusan. Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.

PTD_Bagaimana memasuki perkhidmatan PTD

Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

Bagi memasuki perkhidmatan PTD, seseorang calon itu perlu terlebih dahulu mendaftar dengan pihak Suruhanraya Perkhidmatan Awam sama ada melalui Borang SPA 8 ataupun secara online di laman http://www.spa.gov.my. Secara umumnya, semua calon akan melalui tiga tapisan sebelum mereka dilantik sebagai pegawai PTD.

Peperiksaan
Hanya mereka yang mempunyai kelayakan minimum sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda dengan kepujian yang diiktiraf sama ada daripada universiti tempatan mahupun luar negara, akan dipanggil untuk mengambil peperiksaan khas bagi memasuki perkhidmatan PTD ini. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan tersebut meliputi pelbagai bidang pengetahuan, berbentuk objektif dan subjektif serta terbahagi kepada lima bahagian seperti berikut:

Seksyen A – Pengetahuan am mengenai Malaysia dan alam sekeliling.
Seksyen B – Daya menyelesaikan masalah.
Seksyen C – Pengertian dan kefahaman terhadap esei-esei.
Seksyen D – Menulis esei Bahasa Melayu.
Seksyen E – Menulis esei Bahasa Inggeris.

PTD Assessment Centre (PAC)
Hanya mereka yang berjaya dalam peperiksaan memasuki PTD sahaja akan dipanggil untuk ke tapisan yang seterusnya iaitu PTD Assessment Centre (PAC). PAC merupakan mekanisme bagi membantu pihak JPA membuat penilaian terhadap kesesuaian dan kelayakan calon-calon PTD sebelum diperakukan kepada SPA untuk tujuan temu duga dan lantikan ke perkhidmatan awam. Pelaksanaan PAC ini bermula sejak tahun 1999 dengan melibatkan kesemua INTAN kampus wilayah termasuk INTAN Sabah dan INTAN Sarawak.
Program penilaian ini akan dilaksanakan selama tiga hari. Aspek-aspek kompetensi yang akan diuji adalah seperti berikut:
KOMPETENSI
PEMERHATIAN
PENGERTIAN
Kualiti Personal




Tatakelakuan Mempunyai perilaku dan nilai murni selaras dengan nilai keIslaman dan budaya ketimuran
Penampilan Mempunyai imej dan penampilan diri yang membolehkan kehadirannya dirasai dan disenangi dalam sebarang suasana
Keyakinan Diri Yakin terhadap kebolehan diri dan berani menghadapi tugasan serta mempunyai daya tahan(tolerence level) yang tinggi terhadap cabaran dan masalah yang dihadapi (mental dan fizikal)
Penggerak Kumpulan Keupayaan untuk mengurus dan bekerjasama sebagai satu pasukan
Potensi Kepimpinan Mempunyai potensi sebagai seorang pemimpin yang baik
Pengetahuan Kematangan idea Berupaya mencetuskan idea yang matang, substantif, relevan dan diterima
Kemahiran


Kemahiran berkomunikasi Berkebolehan  berkomunikasi di kalangan rakan dengan yakin dan berkesan
Pengucapan awam/Public speaking Kebolehan untuk menyampaikan idea, maklumat dan maksud dengan yakin dan berkesan
Debat ala parlimen Kebolehan menyampaikan idea, maklumat dengan yakin dan berhemah

Calon-calon akan turut menjalani ujian kecergasan iaitu larian 2.4 km dengan kiraan masa. Selain itu, mereka juga perlu mengikuti latihan jasmani yang lain.

Temu duga
Tapisan terakhir yang perlu ditempuhi oleh calon-calon sebelum mereka layak diterima sebagai PTD adalah temu duga yang dijalankan oleh pihak SPA. Penilaian calon semasa PAC akan diuruskan oleh Urus setia PAC dengan menyedia dan menyelenggara satu pangkalan data markah. Nama-nama calon akan disusun mengikut keutamaan atau ranking dan kemudiannya akan dibentang serta diserahkan kepada SPA. Hanya mereka yang mendapat penilaian yang tinggi sahaja dan benar-benar berkeupayaan akan dipanggil untuk mengikuti temu duga bagi memasuki ke perkhidmatan PTD

Tuesday 10 July 2012

Bagaimana memohon sebagai penjawat awam ?



Permohonan untuk memasuki perkhidmatan awam persekutuan hendaklah dibuat secara atas talian (online) di Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia iaitu www.spa.gov.my di Borang Pendaftaran Pekerjaan di Sektor Awam (SPA8i) atau melalui laman Jobsmalaysia di www.jobsmalaysia.gov.my .
Calon kini dibenarkan memohon sehingga 15 pilihan jawatan dalam Borang Permohonan Pekerjaan Online SPA8i bagi semua peringkat kelayakan sama ada SPM, Diploma atau Ijazah. Kaedah ini bertujuan untuk membolehkan calon memohon seberapa banyak jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan akademik masing-masing serta calon akan mempunyai banyak peluang untuk dilantik ke jawatan yang bersesuaian.



Apakah jawatan yang sesuai dengan kelulusan akademik saya?

Maklumat mengenai kesesuaian jawatan yang dipohon dengan kelulusan akademik boleh didapati di ruangan 'Maklumat Jawatan (Gaji/Syarat Lantikan/Deskripsi Jawatan). Pemohon yang memiliki ijazah dibenarkan memohon jawatan yang mensyaratkan kelayakan masuk SPM.

Bilakah iklan jawatan kosong disiarkan?

Mulai tahun 2009, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia tidak lagi mengiklankan kekosongan jawatan di akhbar seperti yang biasa dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia sebelum ini sebanyak 2 kali setahun. Walau bagaimanapun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menyiarkan iklan sepanjang masa di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Oleh itu, para pemohon juga boleh menyemak maklumat yang dimaksudkan serta perkara lain berkaitan dengannya dan mereka boleh memohon jawatan yang diminati yang sesuai dengan kelayakan yang mereka miliki. Permohonan boleh dibuat pada bila-bila masa sepanjang tahun. Selain itu, penerbitan iklan juga boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia pada bila-bila masa mengikut kesesuaian berdasarkan keperluan urusan pengambilan jawatan tertentu.

Perlukah saya menghantar biodata/maklumat peribadi (resume) untuk memohon jawatan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia?


Tidak perlu. Pemohon hanya dikehendaki mengisi dengan teliti dan sempurna semua maklumat yang diperlukan dalam borang permohonan. Walau bagaimanapun, dokumen yang mengandungi maklumat tersebut serta dokumen lain yang berkaitan perlu dibawa pada hari temu duga.

Siapa yang melantik penjawat awam

Penjawat awam di Malaysia dilantik oleh beberapa suruhanjaya bebas seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) dan Suruhanjaya Pelajaran Malaysia (SPP). Tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia adalah sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan persekutuan dan di antaranya adalah meliputi perkara-perkara berikut:-

PELANTIKAN 
Suruhanjaya menguruskan pelantikan anggota Perkhidmatan Awam secara tetap, sementara, kontrak, tukar sementara dan pinjaman. Suruhanjaya berkuasa menamatkan perkhidmatan anggota Perkhidmatan Awam mengikut syarat-syarat pelantikan. Suruhanjaya telah memberi perwakilan kuasa kepada Kementerian dan Jabatan Persekutuan, Pentadbiran Kerajaan-kerajaan Negeri yang berkenaan bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Sokongan (Kumpulan C dan D JKK).

PENGESAHAN DALAM PERKHIDMATAN 


Suruhanjaya berkuasa mengesahkan anggota Perkhidmatan Awam dalam perkhidmatan, melanjutkan tempoh percubaan, mengembalikan kakitangan ke jawatan asalnya atau menamatkan perkhidmatan kerana kegagalan disahkan dalam jawatan. Suruhanjaya juga memberi perwakilan kuasa kepada Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk mengesahkan dalam perkhidmatan bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK). 


PEMBERIAN TARAF BERPENCEN 
Suruhanjaya menguruskan pemberian taraf berpencen kepada anggota Perkhidmatan Awam tidak termasuk anggota Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK) yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh diambilkira sebagai perkhidmatan berpencen untuk tempoh tidak kurang daripada 3 tahun.

PERTUKARAN PERKHIDMATAN

Suruhanjaya berkuasa menukar tetap anggota Perkhidmatan Awam dari satu skim perkhidmatan ke satu perkhidmatan yang lain, dan dari satu perkhidmatan ke perkhidmatan yang lain untuk skim perkhidmatan yang sama. Suruhanjaya juga berkuasa menukar tetap pegawai-pegawai yang dilantik secara tukar sementara dan pinjaman.

KENAIKAN PANGKAT
Suruhanjaya adalah berfungsi sebagai Lembaga Kenaikan Pangkat bagi kenaikan pangkat ke jawatan (promotion to post) pegawai-pegawai yang menjadi Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam serta kenaikan pangkat dari suatu gred ke suatu gred yang lebih tinggi (promotion to grade) bagi pegawai-pegawai di dalam Skim Perkhidmatan Bersepadu. Selain itu Suruhanjaya juga turut berfungsi sebagai Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang berkenaan.

KAWALAN TATATERTIB

Suruhanjaya adalah merupakan Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan bagi tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta sebagai Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam yang berkenaan.
  

Sejarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Perkhidmatan Awam Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Malayan Civil Service (MCS) telah melaksanakan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini. Dicorakkan melalui perkembangan sejarah negara, sosial dan institusi politik, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai rekod yang amat menarik. Sewaktu era pra-kemerdekaan, pihak British telah memperkenalkan struktur dan amalan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan asas kepada rakyat dalam usaha untuk menjamin keamanan yang selari dengan aktiviti ekonomi dan politik pada waktu itu. Struktur dan amalan tersebut merupakan asas penubuhan kepada MCS.

Dengan tujuan untuk membangun berdasarkan kepercayaan di atas kemampuan sendiri selepas kemerdekaan, Perkhidmatan Awam Malaysia telah melalui banyak perubahan di mana struktur perkhidmatan awam telah diorientasikan semula dan mengalami evolusi yang relevan dan progresif melalui pengenalan penambahbaikan yang terancang dan inovasi supaya seiring dengan pembangunan pada waktu itu dan keperluan masa hadapan. Hingga kini, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai kekuatan seramai 1.2 juta orang meliputi 28 skim perkhidmatan termasuk perkhidmatan awam persekutuan, perkhidmatan awam negeri, perkhidmatan awam bersama, perkhidmatan guru, kehakiman, perundangan, polis dan tentera.

Perkhidmatan Awam Malaysia telah diperturunkan oleh legasi Perkhidmatan Awam British dengan perubahan asas yang telah berlaku secara signifikan 50 tahun lepas. Secara ringkas, apabila mengimbau kembali sejarah Perkhidmatan Awam Malaysia, penubuhannya bermula pada awal tahun 1700 apabila Syarikat India Timur British menakluki Pulau Pinang. Pada waktu itu, perkhidmatan awam dianggotai oleh pemegang biasiswa terbaik dan pintar dari England yang dilantik sebagai Pegawai Tadbir. Laporan Northcote-Trevelyan tahun 1845 telah menggariskan etos perkhidmatan awam yang memberi penekanan bahawa perkhidmatan awam yang neutral dari segi politik bermakna taat setia sepenuhnya kepada Kerajaan yang memerintah pada hari itu tidak mengira perbezaan fahaman politik. Penjawat awam yang profesional, sepatutnya menawarkan buah fikiran serta pandangan yang wajar dan adil, demi kepentingan rakyat dan taat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Akhirnya, Perkhidmatan Awam harus memastikan kestabilan berterusan sekiranya berlaku pertukaran Kerajaan yang memerintah. Doktrin asas ini menentukan prinsip am Perkhidmatan Awam Malaysia untuk tempoh 50 tahun yang lalu sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pada lewat tahun 1800 menyaksikan penggabungan perkhidmatan awam di antara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kepada satu perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States Civil Service atau FMS). Penggabungan tersebut bertujuan untuk menyediakan kuasa pentadbiran secara berpusat dengan prosedur pengambilan bersama yang akan membenarkan pegawai untuk dilantik dan dihantar untuk berkhidmat di beberapa Negeri-Negeri Melayu. Dengan pelaksanaan pemerintahan secara berpusat, prosedur pengambilan diselaraskan bagi menarik calon-calon yang mempunyai taraf sekurang-kurangnya sama atau lebih baik untuk dilantik di dalam perkhidmatan awam dan ini merupakan asas permulaan kepada pengambilan secara tersusun dan profesional ke dalam perkhidmatan awam.

FMS telah berkembang dan membuka pintu kepada pegawai Melayu untuk menubuhkan perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pentadbir Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1903, terdapat seramai 332 orang Melayu daripada jumlah keseluruhan 6,607 penjawat awam di dalam Kerajaan. Raja Chulan bin Raja Abdullah yang pada awalnya telah berkhidmat di dalam Kerajaan sebagai Settlement Officer di negeri Perak menjadi orang Melayu pertama dilantik sebagai Pegawai Daerah in Perak Utara, seterusnya memecahkan penguasaan orang Eropah dalam perkhidmatan tersebut.

Di bawah perkembangan FMS dan Perkhidmatan Pentadbir Melayu, banyak reformasi pentadbiran telah diperkenalkan untuk meningkat dan menambah baik perkhidmatan awam. Antaranya, Skim Sterling, Gaji dan Pengelasan Stubb dan Suruhanjaya Bucknill yang terus memberi definisi dan memperkukuh prinsip perkhidmatan awam berkaitan sistem saraan cuti dan pencen dan terma perkhidmatan yang lain.

Apabila British meninggalkan Malaya selepas pendudukan Jepun pada tahun 1941, kewibawaan 85 pegawai Perkhidmatan Pentadbir Melayu diuji di mana tunggak pentadbiran negara terletak di dalam tangan mereka. Mereka berjaya menguruskan pentadbiran negara dengan baik dan terus memainkan peranan yang penting ke arah mencapai kemerdekaan pada tahun 1950an.

Permulaan pewujudan penggabungan perkhidmatan awam yang bersatu dimulakan apabila perkhidmatan koloni British seperti Perubatan, Pelajaran, Perundangan, Polis dan seumpamanya telah dicantumkan di bawah perkhidmatan yang dikenali sebagai Colonial Administrative Service, di mana MCS merupakan sebahagian daripada komponennya. MCS seterusnya telah mengalami evolusi dan kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), sebuah perkhidmatan yang unggul di mana peranannya telah bertukar dari developmentalist kepada fasilitator dan sekarang menjadi inovator yang instrumental untuk membawa negara maju dalam mencapai dominasi ekonomi, penambahbaikan pembangunan modal insan, menangani kedudukan ketidakseimbangan sosioekonomi, memperbaiki dan mengekalkan kualiti hidup dan memperkukuh institusi dan kapasiti pelaksanaan.

Secara umumnya, PTD dianggap sebagai perkhidmatan elit dan berprestij yang membekalkan Pegawai Tadbir di peringkat Persekutuan dan Negeri. Dengan sifat sebagai generalist di mana pegawai akan memberi khidmat dan berfungsi sebagai pentadbir, melaksanakan dasar Kerajaan di pelbagai agensi Kerajaan dan Kementerian memberi perspektif umum dengan peranan sebagai penasihat secara non-partisan kepada ahli politik. Sifat generalist PTD ini mempunyai kesan yang buruk kepada prestasi pegawai. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1990an, dasar pengambilan pegawai daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta disiplin dan seterusnya ditempatkan untuk berkhidmat di kementerian dan agensi yang relevan telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan imej generalist PTD.

MCS telah berakar umbi dari Sistem Pentadbiran Koloni yang diwujudkan oleh British. Sehubungan itu, peninggalan perkhidmatan awam Malaysia banyak dibentuk oleh sifat profesionalisme, etos dan tidak kurang juga disumbangkan oleh rakyat asing yang tinggal di Malaysia sejak tahun 1950an dan 1960an. Tidak seperti sistem koloni British yang lain, pihak British telah mengekalkan struktur tradisi sosial dan institusi politik yang memerintah dengan beberapa pindaan. Malah sebelum negara mencapai kemerdekaan, pihak British telah memastikan golongan aristokrat Melayu dan ahli-ahli politik elit dilatih untuk mempunyai peranan di dalam sistem pentadbiran koloni.

Tindakan yang signifikan pada awal pasca kemerdekaan adalah berkaitan dasar “Malayanisasi” perkhidmatan awam. Ini merupakan agenda utama Kerajaan Perikatan dengan objektif untuk melengkapkan proses Malayanisasi pada 1 Julai 1960. Akhirnya, pada 15 Ogos 1968, Federal Establishment Office yang telah ditukar nama kepada Establishment Office of Malaysia pada tahun 1967 telah menerima pakai Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai agensi untuk mengawasi semua perkara berkaitan pewujudan dan penstrukturan supaya seiring dengan agenda pembangunan negara.

Perkhidmatan Awam terus memainkan peranan yang penting di dalam tahun selepas kemerdekaan dicapai. Setelah mengharungi waktu yang sukar di dalam awal tahun-tahun selepas kemerdekaan seperti Darurat, kekacauan tahun 1969, dan mengambil kira pelbagai keperluan masyarakat majmuk, perkhidmatan awam telah memberi panduan perancangan yang berterusan, memelihara, dan melaksanakan dasar serta program Kerajaan bertujuan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial dalam usaha mengejar pembangunan dan modenisasi.

Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar di dalam sektor perindustrian, pertanian dan sosial melalui pelbagai Pelan 5-tahun dan Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1970 di mana telah berjaya mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan luar bandar dan industri, yang telah menjadi pendorong bagi pertumbuhan pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama mengurus implikasi sosial ke atas pelbagai etnik di negara ini.

Setelah menempuhi tahun-tahun tersebut, Perkhidmatan Awam telah berkembang dan mengharungi cabaran yang dilalui negara, menyesuaikan, disesuaikan dan memperkukuh program politik, ekonomi dan sosial yang telah menyumbang kepada negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang paling maju dan moden di rantau ini. Bukan sekadar memastikan kemajuan berjalan lancar, Perkhidmatan Awam juga telah membantu melonjakkan kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara membangun.

Sejak kemerdekaan Perkhidmatan Awam Malaysia telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memenuhi keperluan dan hasrat rakyat dan stakeholders yang lain. Dengan kekuatan seramai 1.2 juta ahli, Perkhidmatan Awam Malaysia telah berperanan sebagai perunding, pengawal dan fasilitator. Di samping itu juga, ia telah menjadi pelancar kemajuan (pace setter) dan berperanan sebagai agen perubahan di negara ini. Dalam hubungan ini, perkhidmatan awam perlu melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk memberi perkhidmatan, mengurus kepentingan rakyat, memastikan keselamatan awam dan program komuniti.

Perkhidmatan Awam Malaysia secara signifikan telah menempa nama dan diiktiraf sebagai antara perkhidmatan awam yang terbaik di rantau ini. Ia telah melaksanakan peranan utama dalam pembangunan dan modenisasi Malaysia. Secara umum, usahanya untuk mentadbir Kerajaan dalam dekad-dekad yang lepas, telah berjaya memberi impak dalam memperbaiki tadbir urus dan kualiti perkhidmatan awam.

Dalam usaha menjayakan kedua-dua Dasar Visi Nasional dan Misi Nasional bermula dari tahun 2001 hingga 2020, Perkhidmatan Awam Malaysia secara berterusan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam tempoh yang mencabar ini. Dengan pelbagai petikan seperti “No Wrong Door Policy”, “Business is not as Usual” dan penubuhan PEMUDAH telah membantu untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan karenah birokrasi dan menyediakan perkhidmatan yang produktif, kreatif dan inovatif,ia diharapkan akan menjadi rakan akrab di dalam pelbagai sektor bagi memastikan kemakmuran negara Kesemua ini bertujuan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia bertaraf dunia dan memenuhi tanda aras antarabangsa dari segi prestasi dan kecemerlangan.

Rujukan :

1. "Service Par Excellence" (2005) oleh Wan Mansor Abdullah. Penerbit: INTAN

2. "Imbasan KPPA" (1995) oleh Mahmud Taib. Penerbit: INTAN

3. "Public Service Impartiality in Decision Making": Paper presented at the 13 th Civil Service Conference 2008 oleh Y. Bhg Dato’ Zainal Kling who is the Tun Ghaffar Baba Chair of Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia

4. "Public Service Leadership: The Paradox of Power and Character" : Paper presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.B Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar

5. "Exemplary Personalities in the Malaysian Public Service" : Paper presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.Bhg Tan Sri Datuk Haji Arshad bin Ayub