Perkhidmatan Awam Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Malayan Civil
Service (MCS) telah melaksanakan peranan penting dalam pembangunan
ekonomi dan sosial di negara ini. Dicorakkan melalui perkembangan
sejarah negara, sosial dan institusi politik, Perkhidmatan Awam Malaysia
mempunyai rekod yang amat menarik. Sewaktu era pra-kemerdekaan, pihak
British telah memperkenalkan struktur dan amalan bagi menyediakan
pelbagai perkhidmatan asas kepada rakyat dalam usaha untuk menjamin
keamanan yang selari dengan aktiviti ekonomi dan politik pada waktu itu.
Struktur dan amalan tersebut merupakan asas penubuhan kepada MCS.
Dengan tujuan untuk membangun berdasarkan kepercayaan di atas kemampuan
sendiri selepas kemerdekaan, Perkhidmatan Awam Malaysia telah melalui
banyak perubahan di mana struktur perkhidmatan awam telah diorientasikan
semula dan mengalami evolusi yang relevan dan progresif melalui
pengenalan penambahbaikan yang terancang dan inovasi supaya seiring
dengan pembangunan pada waktu itu dan keperluan masa hadapan. Hingga
kini, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai kekuatan seramai 1.2 juta
orang meliputi 28 skim perkhidmatan termasuk perkhidmatan awam
persekutuan, perkhidmatan awam negeri, perkhidmatan awam bersama,
perkhidmatan guru, kehakiman, perundangan, polis dan tentera.
Perkhidmatan Awam Malaysia telah diperturunkan oleh legasi Perkhidmatan
Awam British dengan perubahan asas yang telah berlaku secara signifikan
50 tahun lepas. Secara ringkas, apabila mengimbau kembali sejarah
Perkhidmatan Awam Malaysia, penubuhannya bermula pada awal tahun 1700
apabila Syarikat India Timur British menakluki Pulau Pinang. Pada waktu
itu, perkhidmatan awam dianggotai oleh pemegang biasiswa terbaik dan
pintar dari England yang dilantik sebagai Pegawai Tadbir. Laporan
Northcote-Trevelyan tahun 1845 telah menggariskan etos perkhidmatan awam
yang memberi penekanan bahawa perkhidmatan awam yang neutral dari segi
politik bermakna taat setia sepenuhnya kepada Kerajaan yang memerintah
pada hari itu tidak mengira perbezaan fahaman politik. Penjawat awam
yang profesional, sepatutnya menawarkan buah fikiran serta pandangan
yang wajar dan adil, demi kepentingan rakyat dan taat kepada Perdana
Menteri dan Jemaah Menteri. Akhirnya, Perkhidmatan Awam harus memastikan
kestabilan berterusan sekiranya berlaku pertukaran Kerajaan yang
memerintah. Doktrin asas ini menentukan prinsip am Perkhidmatan Awam
Malaysia untuk tempoh 50 tahun yang lalu sejak negara mencapai
kemerdekaan.
Pada lewat tahun 1800 menyaksikan penggabungan perkhidmatan awam di
antara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kepada
satu perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu (Federated Malay States Civil Service atau FMS).
Penggabungan tersebut bertujuan untuk menyediakan kuasa pentadbiran
secara berpusat dengan prosedur pengambilan bersama yang akan
membenarkan pegawai untuk dilantik dan dihantar untuk berkhidmat di
beberapa Negeri-Negeri Melayu. Dengan pelaksanaan pemerintahan secara
berpusat, prosedur pengambilan diselaraskan bagi menarik calon-calon
yang mempunyai taraf sekurang-kurangnya sama atau lebih baik untuk
dilantik di dalam perkhidmatan awam dan ini merupakan asas permulaan
kepada pengambilan secara tersusun dan profesional ke dalam perkhidmatan
awam.
FMS telah berkembang dan membuka pintu kepada pegawai Melayu untuk
menubuhkan perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pentadbir
Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1903, terdapat seramai
332 orang Melayu daripada jumlah keseluruhan 6,607 penjawat awam di
dalam Kerajaan. Raja Chulan bin Raja Abdullah yang pada awalnya telah
berkhidmat di dalam Kerajaan sebagai Settlement Officer di negeri Perak
menjadi orang Melayu pertama dilantik sebagai Pegawai Daerah in Perak
Utara, seterusnya memecahkan penguasaan orang Eropah dalam perkhidmatan
tersebut.
Di bawah perkembangan FMS dan Perkhidmatan Pentadbir Melayu, banyak
reformasi pentadbiran telah diperkenalkan untuk meningkat dan menambah
baik perkhidmatan awam. Antaranya, Skim Sterling, Gaji dan Pengelasan
Stubb dan Suruhanjaya Bucknill yang terus memberi definisi dan
memperkukuh prinsip perkhidmatan awam berkaitan sistem saraan cuti dan
pencen dan terma perkhidmatan yang lain.
Apabila British meninggalkan Malaya selepas pendudukan Jepun pada tahun
1941, kewibawaan 85 pegawai Perkhidmatan Pentadbir Melayu diuji di mana
tunggak pentadbiran negara terletak di dalam tangan mereka. Mereka
berjaya menguruskan pentadbiran negara dengan baik dan terus memainkan
peranan yang penting ke arah mencapai kemerdekaan pada tahun 1950an.
Permulaan pewujudan penggabungan perkhidmatan awam yang bersatu
dimulakan apabila perkhidmatan koloni British seperti Perubatan,
Pelajaran, Perundangan, Polis dan seumpamanya telah dicantumkan di bawah
perkhidmatan yang dikenali sebagai Colonial Administrative Service, di
mana MCS merupakan sebahagian daripada komponennya. MCS seterusnya telah
mengalami evolusi dan kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan
Diplomatik (PTD), sebuah perkhidmatan yang unggul di mana peranannya
telah bertukar dari developmentalist kepada fasilitator dan sekarang
menjadi inovator yang instrumental untuk membawa negara maju dalam
mencapai dominasi ekonomi, penambahbaikan pembangunan modal insan,
menangani kedudukan ketidakseimbangan sosioekonomi, memperbaiki dan
mengekalkan kualiti hidup dan memperkukuh institusi dan kapasiti
pelaksanaan.
Secara umumnya, PTD dianggap sebagai perkhidmatan elit dan berprestij
yang membekalkan Pegawai Tadbir di peringkat Persekutuan dan Negeri.
Dengan sifat sebagai generalist di mana pegawai akan memberi khidmat dan
berfungsi sebagai pentadbir, melaksanakan dasar Kerajaan di pelbagai
agensi Kerajaan dan Kementerian memberi perspektif umum dengan peranan
sebagai penasihat secara non-partisan kepada ahli politik. Sifat
generalist PTD ini mempunyai kesan yang buruk kepada prestasi pegawai.
Sehubungan dengan itu, pada tahun 1990an, dasar pengambilan pegawai
daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta disiplin dan
seterusnya ditempatkan untuk berkhidmat di kementerian dan agensi yang
relevan telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan imej generalist PTD.
MCS telah berakar umbi dari Sistem Pentadbiran Koloni yang diwujudkan
oleh British. Sehubungan itu, peninggalan perkhidmatan awam Malaysia
banyak dibentuk oleh sifat profesionalisme, etos dan tidak kurang juga
disumbangkan oleh rakyat asing yang tinggal di Malaysia sejak tahun
1950an dan 1960an. Tidak seperti sistem koloni British yang lain, pihak
British telah mengekalkan struktur tradisi sosial dan institusi politik
yang memerintah dengan beberapa pindaan. Malah sebelum negara mencapai
kemerdekaan, pihak British telah memastikan golongan aristokrat Melayu
dan ahli-ahli politik elit dilatih untuk mempunyai peranan di dalam
sistem pentadbiran koloni.
Tindakan yang signifikan pada awal pasca kemerdekaan adalah berkaitan
dasar “Malayanisasi” perkhidmatan awam. Ini merupakan agenda utama
Kerajaan Perikatan dengan objektif untuk melengkapkan proses
Malayanisasi pada 1 Julai 1960. Akhirnya, pada 15 Ogos 1968, Federal
Establishment Office yang telah ditukar nama kepada Establishment Office
of Malaysia pada tahun 1967 telah menerima pakai Jabatan Perkhidmatan
Awam sebagai agensi untuk mengawasi semua perkara berkaitan pewujudan
dan penstrukturan supaya seiring dengan agenda pembangunan negara.
Perkhidmatan Awam terus memainkan peranan yang penting di dalam tahun
selepas kemerdekaan dicapai. Setelah mengharungi waktu yang sukar di
dalam awal tahun-tahun selepas kemerdekaan seperti Darurat, kekacauan
tahun 1969, dan mengambil kira pelbagai keperluan masyarakat majmuk,
perkhidmatan awam telah memberi panduan perancangan yang berterusan,
memelihara, dan melaksanakan dasar serta program Kerajaan bertujuan
untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial dalam usaha
mengejar pembangunan dan modenisasi.
Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam
memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar di dalam sektor
perindustrian, pertanian dan sosial melalui pelbagai Pelan 5-tahun dan
Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1970 di mana
telah berjaya mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan luar bandar
dan industri, yang telah menjadi pendorong bagi pertumbuhan pembangunan
ekonomi dan pada masa yang sama mengurus implikasi sosial ke atas
pelbagai etnik di negara ini.
Setelah menempuhi tahun-tahun tersebut, Perkhidmatan Awam telah
berkembang dan mengharungi cabaran yang dilalui negara, menyesuaikan,
disesuaikan dan memperkukuh program politik, ekonomi dan sosial yang
telah menyumbang kepada negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang
paling maju dan moden di rantau ini. Bukan sekadar memastikan kemajuan
berjalan lancar, Perkhidmatan Awam juga telah membantu melonjakkan
kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi sebuah negara
berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara membangun.
Sejak kemerdekaan Perkhidmatan Awam Malaysia telah memainkan peranan
yang sangat besar dalam memenuhi keperluan dan hasrat rakyat dan
stakeholders yang lain. Dengan kekuatan seramai 1.2 juta ahli,
Perkhidmatan Awam Malaysia telah berperanan sebagai perunding, pengawal
dan fasilitator. Di samping itu juga, ia telah menjadi pelancar kemajuan
(pace setter) dan berperanan sebagai agen perubahan di negara ini.
Dalam hubungan ini, perkhidmatan awam perlu melaksanakan pelbagai
tanggungjawab termasuk memberi perkhidmatan, mengurus kepentingan
rakyat, memastikan keselamatan awam dan program komuniti.
Perkhidmatan Awam Malaysia secara signifikan telah menempa nama dan
diiktiraf sebagai antara perkhidmatan awam yang terbaik di rantau ini.
Ia telah melaksanakan peranan utama dalam pembangunan dan modenisasi
Malaysia. Secara umum, usahanya untuk mentadbir Kerajaan dalam
dekad-dekad yang lepas, telah berjaya memberi impak dalam memperbaiki
tadbir urus dan kualiti perkhidmatan awam.
Dalam usaha menjayakan kedua-dua Dasar Visi Nasional dan Misi Nasional
bermula dari tahun 2001 hingga 2020, Perkhidmatan Awam Malaysia secara
berterusan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam tempoh yang mencabar
ini. Dengan pelbagai petikan seperti “No Wrong Door Policy”, “Business
is not as Usual” dan penubuhan PEMUDAH telah membantu untuk meningkatkan
sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan karenah
birokrasi dan menyediakan perkhidmatan yang produktif, kreatif dan
inovatif,ia diharapkan akan menjadi rakan akrab di dalam pelbagai sektor
bagi memastikan kemakmuran negara Kesemua ini bertujuan untuk
menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia bertaraf dunia dan memenuhi tanda
aras antarabangsa dari segi prestasi dan kecemerlangan.
Rujukan :
1. "Service Par Excellence" (2005) oleh Wan Mansor Abdullah. Penerbit: INTAN
2. "Imbasan KPPA" (1995) oleh Mahmud Taib. Penerbit: INTAN
3. "Public Service Impartiality in Decision Making": Paper presented at
the 13 th Civil Service Conference 2008 oleh Y. Bhg Dato’ Zainal Kling
who is the Tun Ghaffar Baba Chair of Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) Malaysia
4. "Public Service Leadership: The Paradox of Power and Character" :
Paper presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.B Dato’
Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar
5. "Exemplary Personalities in the Malaysian Public Service" : Paper
presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.Bhg Tan Sri
Datuk Haji Arshad bin Ayub
tq, concise & informative
ReplyDelete